Saturday, January 22, 2011

TIPU DAYA IBLIS

DI RIWAYATKAN bahawa pada masa dahulu terdapat seorang hamba Allah yang sangat suka membanteras kemungkaran.

Pada suatu hari dia berjalan-jalan untuk bersiar-siar di kampung tempat tinggalnya. Tiba-tiba dia terpandang seseorang sedang menyembah sebatang pokok besar berhampiran jalan. Maka ia pun jadi marah dengan perbuatan orang itu lalu pulang ke rumahnya untuk mengambil kapak buat menebang pokok berkenaan. Pada perkiraannya, jika pokok itu telah tiada tentulah orang itu tidak menyembahnya lagi.

Di pertengahan jalan, Iblis menghalang hamba Allah itu dengan menyerupai manusia lalu bertanya: “Kamu hendak ke mana?”

“Aku hendak pergi menebang pokok besar yang menjadi sembahan orang itu. Aku berjanji dengan Allah bahawa aku akan menebang pokok tersebut,” jawab hamba Allah itu.

Lalu berkatalah Iblis: “Buat apa kamu sibuk-sibuk sangat tentang urusan mereka, bukankah mereka itu sudah sesat dan jauh daripada mendapat rahmat Allah.”

Hamba Allah itu tidak mengendahkan kata-kata Iblis itu. Oleh kerana Iblis terus menghalangnya, maka terjadilah perkelahian antara hamba Allah itu dengan Iblis yang menyerupai manusia itu. Lama mereka berkelahi, sampai tiga kali berhenti dan berkelahi kembali. Perkelahian itu semuanya dimenangi oleh hamba Allah itu. Iblis yang menyerupai manusia tidak dapat menewaskannya. Iblis memikirkan muslihat untuk menewaskan hamba Allah itu.

Iblis tidak putus asa. Dia pun berkata: “Wahai orang yang sangat tinggi imannya kepada Allah, daripada kamu bersusah-payah menebang pokok tersebut lebih baik kamu pulang dan aku berjanji akan memberi kepadamu empat dirham dan aku akan letakkan di bawah bantal kamu pada setiap hari.”

Mendengarkan kata-kata Iblis durjana lalu hamba Allah itu bertanya dalam nada gembira tanda setuju: “Betul apa yang kamu perkatakan itu?”Lalu dijawab Iblis dengan tegas dan meyakinkan: “Betul, apa yang aku perkatakan.” Kerana yakin dengan janji-janji itu, maka hamba Allah itu pun membatalkan niatnya menebang pokok yang jadi sembahan itu dan terus pulang ke rumahnya.

Keesokan harinya, ketika hamba Allah itu terbangun dari tidurnya dia terus memeriksa di bawah bantalnya. Ternyata ada wang empat dirham sebagaimana yang dijanjikan Iblis yang menyamar sebagai manusia itu. Hamba Allah itu sangat gembir dan janji itu terbukti selama tiga hari berturut-turut.

Bagaimanapun pada hari ke empat, wang yang sepatutnya ada di bawah bantal tidak ada lagi. Dia berasa amat marah kepada Iblis yang telah menipunya. Dengan perasaan marah kerana hampa mendapat wang yang dijanjikan, hamba Allah itu pun mengambil kapaknya dan meluru menuju ke pokok yang hendak ditebangnya dahulu.

Sebagaimana yang berlaku sebelumnya, di pertengahan jalan hamba Allah itu bertemu semula dengan Iblis yang menyamarkan diri sebagai manusia itu yang dirasakan telah menipu dirinya. “Kamu hendak ke mana dengan muka yang merah padam sambil menggalas kapak?”, tanya Iblis sambil tersenyum.

“Aku datang untuk menebang pokok yang menjadi sembahan orang itu. Dan aku sangat kecewa kerana engkau telah mengingkari janji,”
jawab hamba Allah itu dengan tegas dan rasa marah yang amat sangat kepada Iblis.

Kali ini pun Iblis sekali lagi menghalang hamba Allah itu. Maka berlakulah perkelahian seperti empat hari dahulu. Tapi kali ini perkelahian tidak sesengit dahulu. Hamba Allah yang dulunya gagah dan kuat, kini dengan mudah dapat dikalahkan oleh Iblis yang menyamar diri itu. Lantas hamba Allah itu bertanya: “Bagaimanakah kali ini kamu dapat menewaskan aku dengan mudah, sedangkan pada pertarungan dahulu aku yang dapat menewaskan kamu?”

Maka berkatalah Iblis dengan nada sombongnya: “Ketahuilah bahawa aku adalah musuh Allah dan aku adalah makhluk yang menyeru kepada kejahatan dan kemungkaran. Jadi aku berusaha mencari jalan untuk menyesatkan manusia seperti kamu hingga hari kiamat.
“Empat hari dahulu kamu datang ke sini untuk menebang pokok itu dengan niat kerana Allah, bagi menghapuskan kemungkaran yang berlaku. Ketika itu jika ada makhluk, sama ada penghuni langit atau bumi yang ingin menghalangmu daripada berbuat demikian, pasti mereka tidak mampu.

“Tetapi, hari ini aku dapat menewaskan kamu dengan mudah, kerana niat kamu dan tujuan kamu sudah berubah. Tidak ada lagi keikhlasan di hati kamu. Engkau datang ke sini untuk menebang pokok kerana aku tidak lagi menyediakan wang untuk kamu sebagaimana yang aku janjikan. Engkau datang bukan dengan kerana Allah tetapi, datang kerana marah kepadaku.

“Oleh sebab itu, lebih baik engkau pulang sahaja ke rumahmu sebelum aku patah-patahkan anggotamu.”

Maka barulah hamba Allah itu tersedar dan dia berasa sangat kecewa serta menyesal dengan apa yang telah berlaku.

Moralnya, amal dan kebajikan yang dilakukan dengan tidak ikhlas tidak akan memberi apa-apa kebaikan. Justeru, setiap amal dan kebajikan yang dilakukan hendaklah ikhlas kerana Allah. Apabila tiada keikhlasan, maka mudahlah iblis dan syaitan menggoda serta menyesatkan manusia sebagaimana yang disumpahkannya dengan Allah SWT.

Wednesday, January 19, 2011

Surah Al-Ikhlas

ANAS bin Malik r.a berkata: “Sewaktu kami bersama-sama Rasulullah SAW berada di Tabuk, terbitlah matahari yang mana cahayanya belum pernah terlihat seperti itu sebelumnya. Tetapi pada suatu hari lain, matahari terbit dalam keadaan redup dan disusuli dengan turunnya malaikat Jibril a.s.

Melihatakan kedatangan Jibril, Rasulullah pun bertanya: “Wahai Jibril, kenapa matahari hari ini terbit dalam keadaan redup?’

“Matahari hari ini nampak seperti redup kerana terlampau banyaknya sayap para malaikat,” jelas Jibril a.s. kepada Rasulullah SAW.

“Apa halnya maka terjadi demikian?” tanya Rasulullah.
Berkata Jibril: “Ini adalah kerana hari ini Muawiyah meninggal dunia di Madinah. Allah SWT telah mengutus seramai 70,000 malaikat supaya membaca salawat untuk Muawiyah.”
“Apa sebabnya?” tanya Rasulullah.
“Ini adalah kerana Muawiyah itu semasa hidupnya selalu membaca ‘Qul huwallahhu Ahad’ di waktu malam, di waktu siang, sewaktu berjalan, sewaktu berdiri, sewaktu duduk, waktu pagi bahkan pada setiap keadaan, “ jelas Jibril.

Seterusnya Jibril a.s. berkata: Ya Rasulullah, mahukah kamu aku genggam bumi ini supaya membaca salawat untuk Muawiyah?”
“Silakan, wahai Jibril,” jawab rasulullah.

Setelah mendapat perintah dari Rasulullah SAW, maka Jibril pun memukul kedua belah sayapnya pada bumi sehingga bumi menjadi sempit. Kemudian diangkatnya sehingga Rasulullah SAW dapat melihat di belakangnya diiringi oleh malaikat yang berbaris. Setiap satu barisan ada 70,000 malaikat.

Setelah itu Rasulullah SAW pun mengerjakan solat sunat untuk Muawiyah.

Surah Al-Ikhlas memang banyak kelebihannya. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk (mereput) di dalam kuburnya. Dan akan terselamat dia daripada kesempitan kubur. Dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian syiratul mustaqim menuju ke syurga.

Tuesday, January 18, 2011

Pahlawan Neraka..

PERISTIWA ini berlaku di zaman Rasulullah SAW. Dalam satu pertempuran antara pihak Islam dengan pihak musyrik, pertarungan berlaku dengan hebat. Masing-masing mahu memenangi pertempuran. Bagaimana pun ada ketikanya pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing.

Ketika itu Nabi Muhammad SAW dan para sahabat berkumpul untuk membincangkan strategi pertempuran yang telah dan akan berlaku. Dalam perbincangan itu mereka begitu kagum dengan seorang pahlawan Islam bernama Qotzman yang telah gugur. Dia berjuang dengan berani bagaikan seekor singa lapar membaham mangsanya.

Walaupun beliau telah terkorban tetapi, keberaniannya bertempur menjadi buah mulut ketika itu. “Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman,” kata salah seorang sahabat.

Mendengarkan kata-kata itu, Rasulullah berkata: “Sebenarnya dia itu adalah golongan penghuni neraka.”

Para sahabat terkejut dan berasa hairan dengan kata-kata Rasulullah. Mereka berpandangan antara satu sama lain dengan wajah kehairanan. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk ke dalam neraka.

Rasulullah sedar para sahabatnya yang tidak begitu percaya dengan kata-kata baginda, lantas baginda berkata: “Semasa Qotzman dan Aktsam bersama-sama keluar ke medan perang, Qotzman mengalami luka parah ditikam musuh. Badannya penuh dengan luka-luka dan darah. Dalam keadaan itu Qotzman meletakkan pedangnya di atas tanah dengan mata pedang itu dihalakan di dadanya. Kemudian dia terus membenamkan mata pedang itu ke dadanya.”

“Qotzman berbuat begitu kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berjuang atau berlawan dengan musuh tetapi, mati kerana membunuh diri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka dia akan masuk syurga. Tetapi sebaliknya dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka.”
Menurut Rasulullah lagi, sebelum dia mati Qotzman ada mengatakan, katanya: “Demi Allah, aku berperang bukan kerana agama tetapi, hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang.”

Demikian seperti diriwayatkan Luqman.





Monday, January 10, 2011

Wasiat RAJA-RAJA MELAYU


Pada 5 Ogos 1957, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah dimeterai antara Pesuruhjaya British bagi pihak Baginda Queen dan Raja-Raja Melayu. Perjanjian itu adalah untuk menubuhkan persekutuan negeri-negeri yang diberi nama Persekutuan Tanah Melayu, mengandungi negeri-negeri Melayu dan tanah-tanah jajahan Melaka dan Pulau Pinang, berkuatkuasa pada 31 Ogos 1957 dengan Perlembagaan baru bagi Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya pada 16 September 1963 disemak semula untuk memasukkan Singapura, Sabah dan Sarawak dan Negara Persekutuan Tanah Melayu yang telah merdeka dan berdaulat itu, menukar namanya kepada MALAYSIA.

Ketika Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan bagi memperkenankan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu itu, terlebih dahulu Raja-Raja Melayu telah berkenan mewarkahkan sebuah kenyataan yang kini dikenali sebagai WASIAT RAJA-RAJA MELAYU:-

  • 1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU [sekarang dikenali dengan nama Malaysia]
  • 2. Kami istiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu istihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain
  • 3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu, kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU, selain untuk membenteras kekacauan dalam Negara dan ancaman dari luar Negara
  • 4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah Negara ini
  • 5. Kami istiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan
  • 6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU, dan
  • 7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN [kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak]
Demikian diantara kebertanggungjawaban yang menggambarkan betapa tertib dan teraturnya keturunan pewaris bangsa memastikan kesejahteraan dan keharmonian warga negara yang bakal merdeka dan berdaulat itu terjamin dan jelas sejarah susur galur kejadiannya.
Sejarah pernah memperlihatkan bagaimana sebuah Kerajaan Islam yang gagah dan masyur tamaddunnya di bumi Sepanyol, hilang lenyap dan tersembam ghaib dibumi setelah 800 tahun  memerintah.. Kita baru sahaja berusia 53 tahun dan kita sendiri sedang merencanakan kejatuhan sendiri.

Hari ini anak melayu sendiri mempersoalkan artikel didalam Perlembagaan yang dicipta untuk memastikan kedudukan anak bangsa di jaga dan di pastikan kedudukan  istimewanya dibumi warisannya .Anak melayu sendiri yang sanggup memberikan laluan mencemoh bangsa sendiri oleh anasir-anasir subversif berkepentingan. Anak Melayu yang mewarisi negara diatas titisan darah dan tangisan pejuang terdahulu, kini berlagak telebih pandai setelah mendapat pendidikan, peluang yang didapatinya hasil belaian kasih sayang pemegang amanah wasiat bangsa. Anak melayu yang dulunya mengharapkan bapak-bapak mereka menjaga hak-hak mereka sementara mereka membesar, kini setelah besar dan meraih segala kemudahan dan keistimewaan yang dipayungi oleh Perlembagaan yang dicipta khusus mengambil kira kepentingan mereka, kini mahu menidakkan Perlembagaan dan keistimewaan itu dari diwariskan kepada anak bangsa seterusnya. Anak melayu yang kini mahu dikata berfikiran global, tidak lagi mahu dikenali sebagai pejuang bangsa, yang tidak lagi mahu di kaitkan dengan sikap ultra melayu, yang malu mahu jadi pembela melayu, yang terpedaya dengan slogan anak Malaysia sama rata sama rasa. Inilah anak melayu pembelot! Inilah anak melayu derhaka dan inilah anak melayu yang bebal, dibebalkan oleh pendusta yang mempergunakan kebebalan mereka untuk agenda yang anak melayu itu sendiri tidak jelas! Anak Melayu ini akan membawa kepada kehancuran segala yang selama ini di pupuk dan di bina dengan penuh harmoni untuk keagungan bangsa, negara dan agama! Anak-anak melayu begini semakin dilihat vokal dengan kebebalan mereka. Ia mengumpulkan anak-anak melayu yang belot, yang terpedaya, yang tak ambil peduli dan anak melayu yang menjadi rimas oleh kerana termangu-mangu dengan kemelut yang tidak diambil pedulinya. Yang bahayanya, semua kelompok ini akan hanya menyumbang kepada pemusnahan bangsa dan segala yang di punyai dek kerana kecuaian dan kepandiran akal yang kurang berakal! Anak-anak melayu sebegini lah yang disukai oleh musuh dan pembelot yang ada agenda dan yang tiada agenda tetapi hanya menangguk diair keruh untuk kepentingan sendiri.


DAULAT TUANKU